Terkejut...najis tikus dalam beras
SHAH ALAM – Sepasang suami isteri terkejut apabila mendapati beras yang dibeli daripada sebuah pasar raya besar di sini mengandungi benda asing dipercayai najis tikus, Isnin lalu.
Norizan Zakaria, 33, berkata, dia membeli beras seberat 10 kilogram (kg) dan terperanjat apabila mendapati ia mengandungi benda asing itu sebaik sahaja hendak memasukkannya ke dalam bekas pada keesokan harinya.
“Saya dapati ada habuk-habuk hitam dan pada awalnya suami saya meneka itu mungkin batu yang biasa kadang kala ada dalam beras tetapi setelah diteliti, ia menyerupai menyerupai najis tikus,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Norizan dan suaminya, Mohd Fairuz Zakaria, kemudiannya mengambil keputusan membuat aduan kepada syarikat pengeluar beras berkenaan melalui panggilan telefon pada Selasa lalu.
Pasangan itu diberitahu pegawai syarikat itu, wakilnya akan datang menggantikan beras yang baru namun Norizan berpendapat, perkara itu tidak boleh dibiarkan dan tindakan tegas perlu dikenakan.
Katanya, perkara ini perlu dipandang serius kerana dibimbangi lebih ramai masyarakat terdedah kepada penyakit bawaan tikus yang boleh membawa maut.
“Jika terdapat najis tikus bermakna kawasan persekitaran kilang adalah tidak bersih dan tidak mengikut piawaian yang ditetapkan.
“Cuba bayangkan, beras ini bukan hanya digunakan oleh isi rumah malah di kedai, restoran atau kedai makan. Mungkin ada yang menyedari ia najis tikus, mungkin ada yang tidak kenal dan buang sahaja benda asing itu dan gunakan beras untuk masak, itu yang kita takut,” katanya.
Dalam pada itu katanya, dia turut membuat aduan kepada jabatan kesihatan dan diberitahu beras itu perlu diuji untuk kesahihan.
“Kami diminta menghantar gambar melalui e-mel kepada jabatan kesihatan dan kemudian pegawai yang berurusan melalui telefon memberitahu akan menghantar pegawai untuk membuat pemeriksaan tetapi hingga semalam mereka tidak datang.
“Saya menelefon sekali lagi dan diberitahu beras perlu diuji di makmal. Saya berharap perkara ini diambil serius pihak terlibat,” katanya - Sinar Harian
0 Comment "Terkejut...najis tikus dalam beras"
Post a Comment