Barcelona: Seorang anggota polis dihukum penjara setahun kerana mencederakan buah zakar seorang lelaki yang ingin ditangkapnya dengan bom asap.
Bom itu dicampakkan ke riba mangsa apabila lelaki terbabit enggan keluar dari keretanya ketika diarahkan berbuat demikian.
Anggota polis itu dipenjarakan setahun dan diarah membayar 168,000 Euro (RM751,675) kepada mangsa selepas mencederakan kemaluan mangsa tanpa sengaja.
Anggota polis dari Catalonia itu pada awalnya ditugaskan menahan dua pemeras ugut yang mempunyai sejarah keganasan.
Memandangkan kedua-dua suspek pakar seni mempertahankan diri dan memiliki dua anjing yang garang, pegawai atasan membenarkan anggota polis itu menggunakan bom asap jika perlu. Senjata itu direka untuk mengelirukan mangsa kerana ia menyebabkan kehilangan sementara deria pendengaran dan imbangan apabila diletupkan pada jarak dekat.
Bagaimanapun, apabila seorang daripada lelaki terbabit enggan keluar dari keretanya, anggota polis dari Barcelona itu mencampakkan bom terbabit ke atas ribanya, lapor akhbar The Local. yang menterjemah artikel daripada akhbar harian Sepanyol 20minutos.
Letupan itu mencederakan buah zakar lelaki berusia 25 tahun itu dan menyebabkan mangsa menjadi mandul. Mahkamah agung Sepanyol yang menjatuhkan hukuman ke atas anggota polis terbabit kelmarin berkata, insiden yang berlaku pada 2008 itu disebabkan oleh kecuaian.
Mahkamah juga mengarahkan dia digantung kerja.
Kes itu berlaku sebulan selepas polis Sweden dikatakan menggunakan bom asap untuk menundukkan seorang ibu yang enggan menyerahkan bayi lelakinya berusia lima bulan.
Wanita berusia 30 tahun itu mengacukan pisau ketika polis memasuki flat kediamannya di Helsingborg, selatan Sweden bagi membantu petugas khidmat sosial mengambil alih jagaan bayi terbabit daripadanya. – Agensi
*Gambar hiasan
0 Comment "Buah zakar ‘berasap’"
Post a Comment